
MENGENALI INSITUSI YANG DI PERTUAN AGONG DAN
KUASA KUASA YANG DI PERTUAN AGONG:
PANGLIMA TERTINGGI ANGKATAN TENTERA MALAYSIA
[olih Mej Hj Mior Rosli Bin Dato’ Hj Mior Mohd Jaafar TUDM (Bersara),DPA, LLB, MsHRD, J.S.D.]

Pendahuluan:
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Yang di-Pertuan Agong atau Raja Malaysia ialah gelaran rasmi bagi Ketua Negara Malaysia. Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu daripada beberapa bentuk monarki di dunia di mana raja yang dipilih. Konsep raja yang dipilih dipercayai berakar daripada kerajaan-kerajaan Srivijaya dan Ayutthaya abad ke-7, di mana pada masa itu raja dipilih dari negeri-negeri kota di Sriwijaya.
Gelar panggilan penuh baginda dalam bahasa Melayu adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bermaksud “Di bawah debu Yang Mahakuasa” merujuk kepada bagaimana kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah debu berbanding dengan kuasa Allah dan pemerintah selalu tunduk kepada Tuhan.
Seri Paduka Baginda membawa gabungan perkataan “Seri”, “Paduka” yang bermaksud alas kaki atau kasut dan istilah “Baginda” yang merupakan kata ganti nama diri ketiga dalam bahasa Melayu untuk golongan raja dan para Nabi. Peristilahan ini membawa kerendahan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dibandingkan kepada Nabi.
Yang di-Pertuan Agong adalah istilah lama untuk ketua iaitu “Yang di-Pertuan” atau secara harfiah bermaksud “yang bertanggungjawab” atau “yang dinaikkan kedudukannya.” “Agong” atau dalam bahasa piawai, Agung, bermaksud tertinggi dan gelaran ini tidak berubah termasuk ejaannya kerana ia termaktub dan tersimpan di dalam Perlembagaan.
Memandangkan Tanah Melayu telah merdeka dan di namakan Malaya dan kemudian Malaysia telah memilih untuk mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Dalam konteks Raja Berperlembagaan di Malaysia, peranan Yang di-Pertuan Agong masih meluas tetapi beberapa tindakan baginda tertakluk kepada perlembagaan. Perlembagaan telah menyatakan dengan jelas bahawa kuasa Eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua kerajaan, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet atau Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri.
Walaupun demikian, penulisan ini bertujuan untuk memberi penyelasan kepada umum bahawa Yang Di Pertuan Agong masih lagi mempunyai kuasa budicara baginda tersendiri. Tumpuan utama penulisan ini adalah untuk membicarakan kuasa Yang Di Pertuan Agong sebagai Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Pesekutuan Malaysia.

Bagaimana Yang Di Pertuan Agong Di Pilih
Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-raja Melayu. Pada 31 Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.
Ciri yang unik di seluruh dunia dalam sistem pemerintahan beraja Malaysia, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun antara sembilan Pemerintah Negeri Melayu. Apabila menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai Pemangku dalam negeri tersebut. Yang di-Pertuan Agong yang baharu mesti dipilih oleh Majlis Raja-raja mengikut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.
Apabila terdapat kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja maklum perlunya pemilihan yang baharu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada Baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.
Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi. Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun. Sebaik sahaja keputusan undian diumumkan semua kertas undi akan dimusnahkan di hadapan Raja-Raja. Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Selepas tamat kedua-dua urusan pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menghantar surat mengesahkan keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri. Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai keputusan pemilihan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menjalankan fungsi rasmi selepas menandatangani sumpah jawatan dalam satu istiadat di hadapan Majlis Raja-raja dan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan dengan ditandatangani saksi oleh dua orang Raja yang dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai saksi-saksi.

Hubungkait Yang Di Pertuan Agong Dengan Perlembagaan Persekutuan
Sebelum kita melihat secara terperinci tentang peruntukan-peruntukan Perlembagaan mengenai Yang Di Pertuan Agong sebagai Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, elok kita melihat satu gambaran menyeluruh terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan hubungkaitnya dengan institusi raja.
Pertama, Perkara 160B menekankan mengenai Teks sahih perlembagaan. Perkara 160B menyatakan Jika Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih, dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris Perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu.
Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan symbol kemerdekaan dan ianya juga adalah identiti negara. Dua perkara ini begitu asas untuk kita fahami kerana, tanpa Perlembagaan, kita tidak akan diiktiraf sebagai Negara merdeka dan berdaulat, dan tanpa Perlembagaan kita tidak mungkin dapat mencipta falsafah atau indentiti negara.
Pengisian Perlembagaan pada asalnya adalah dari ‘cakap-cakap politik’, dan apabila dimaktubkan dalam Perlembagaan ‘cakap-cakap’ tersebut menjadi satu ‘institusi’. ‘Institusi’ merujuk kepada budaya dan amalan yang berakar umbi dan menjadi kukuh dalam masyarakat kita. Kesannya ‘institusi’ ini membina identity negara. Sebagai sebuah ‘institusi’, tatarajah sosio-politik masyarakat tempatan tidak mudah untuk di padam dalam melaksanakan peruntukan Perlembagaan.
Perlembagaan itu adalah sesuatu yang ‘organic’, iaitu sesuatu yang hidup dan berubah-ubah, serta boleh diubah. Perlembagaan perlu diubah suai mengikut keadaan dan perubahan. Sebagai satu bentuk undang-undang, Perlembagaan adalah ‘organic’ dan membolehkan ia sesuai dan dapat dimanafaat sepanjang masa. Persoalannya sekarang, adakah disebabkan sifat ‘organic’ dan boleh ubah dan berubah itu bermaksud ianya boleh sewenang-wenang diubah tanpa memberi perhatian kepada ‘institusi’ dan tatarajah socio-politik jika perubahan tersebut sesuatu yang ‘revolusioanary’– radikal, keras, mendadak serta menyeluruh?
‘Instutisi’ atau tatarajah sosio-politik negara ini yang berkaitan dengan raja-raja Melayu telah berakar umbi dalam falsafah masyarakat Melayu. Institusi raja-raja Melayu dimaktubkan dengan kemas dalam Perlembagaan Persekutuan dan ianya diwakili oleh institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Peruntukan-peruntukan ini secara harfiah dan amalannya telah membentuk identiti negara.
Berikut adalah peruntukan peruntukan mengenai instusi Yang Di Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita ketepikan Kuasa Yang Di Pertuan Agong terhada Angkatan Tentera terlebih dahulu. Kita tumpukan kuasa-kuasa yang lain terlebih dahulu.
- Perlembagaan Persekutuan meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama Negara (Perkara 32), yang secara undang-undangnya menganggotai tiga badan kerajaan, iaitu badan Perundangan (Legislatif), Badan Pemerintah (Eksekutif) dan Badan Kehakiman (Judisiari).
- Perkara 44 meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai satu daripada tiga unsur Parlimen. Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen (Perkara 55) serta meletakkan cop mohor kepada Rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan dalam proses penggubalan undang-undang (Perkara 66).
- Baginda boleh bertindak menurut budi bicaranya untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen (Perkara 40(2)(b))
- Yang di-Pertuan Agong berkuasa mengampunkan, menangguhkan sesuatu hukuman dan melegakan sesuatu hukuman atas segala kesalahan yang telah di bicarakan di mahkamah tentera dan mahkamah didalam negeri di bawah jagaannya (per. 42).
- Baginda bertangjungjawab menjaga dan memelihara kedudukan dan hak istimewa orang Melayu serta kepentingan bangsa lain (per. 153).
- Melalui kuasa budi bicara, menitahkan Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan keistimewaan, kedudukan, kehormatan dan kemuliaan Raja-Raja Melayu (per. 40(2)(c) ),
- Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah (per. 3).
- Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Perdana Menteri daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan (per. 40(2)(a) dan 43(2)(a).
- Baginda mempunyai kuasa melantik dan melucutkan jawatan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri setelah mendapat nasihat Perdana Menteri (per. 43(5).
- Yang di-Pertuan Agong boleh membuat pengisytiharan darurat(per. 150) dan juga membuat undang-undang (ordianan) darurat sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak (per. 150(2B).
- Atas nasihat Perdana Menteri, baginda mempunyai kausa melantik ahli suruhanjaya-suruhanjaya yang ditubuhkan oleh Perlembagaan, seperti Suruhanjaya Polis (per. 140), Pelajaran (per. 141A). Baginda juga melantik Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri (per. 145).
- Selain daripada kuasa dan peranan, kedudukan institusi raja dijamin oleh Perlembagaan. Antaranya, Walaupun ahli Dewan Parlimen mempunyai kebebasan untuk membuat apa-apa pernyataan berkaitan raja-raja Melayu, namun, mereka tidak dibenarkan untuk menganjurkan atau mencadangkan pemansuhan institusi raja dalam apa juga prosiding Parlimen (per. 63(5)). Pindaan Perlembagaan terhadap apa juga peruntukan berkaitan Majlis Raja-Raja (per. 380 dan keutamaan raja (per. 70) juga tidak boleh dilaksana tanpa perkenan Majlis Raja-Raja (per. 159(5)).

Konsep Raja Berperlembagaan Di Malaysia: Merujuk kepada Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
‘Raja Berperlembagaan’ atau “Constitutional Monarchy” bermaksud raja yang hanya bertindak atas nasihat Jemaah Menteri. Walaupun asalnya istilah “beritndak atas nasihat” ini merupakan amalan atau konvensyen perlembagaan, ‘kewajipan’ ini telah di maktubkan dalam Perlembagaan dengan wujudnya per. 40 dan ditambah lagi dengan pindaan Perlembagaan pada tahun 1994 dengan memasukkan fasal (1A).
Sebelum kita membicarakan sama ada Yang Di Pertuan Agong mempunyai kuasa budicara (sama ada kuasa am atau kuasa mutlak) dalam menjalankan tanggongjawab Baginda, kita harus teliti setiap perkataan dan ayat di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
Pertama sekali tajuk Perkara 40 dengan Jelas menyatakan, “40. Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.” Jika kita membaca tajuk ini secara “literally” sudah pasti si pembaca akan mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya boleh bertindak mengikut nasihat. Tetapi jika kita meneruskan bacaan kita kepada perenggan-perenggan kecil 40(1), 40(1A), 40(2) dan 40(3) kita dapati bahawa Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan yang di nyatakan tidak perlu menerima atau menunggu nasihat Jemaah Menteri dalam melaksana tindakannya seperti berikut:
- Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan
Ayatnya berbunyi:
“(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.”
Perkataan “kecuali” dalam perenggan 40(1) diatas dengan secara langsong dan tidak langsong Yang Di Pertuan Agong TIDAK perlu bertindak mengikut nasihat sekiranya terdapat peruntukan yang lain di dalam perlembagaan Persekutuan. Kita akan senaraikan contoh2 peruntukan yang berkenaan kemudian.
2. Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan
Fasal (1A) ini telah ditambahkan oleh Akta A885, seksyen 4, berkuat kuasa dari 24-06-1994. Fasal ini berbunyi:
“(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”
Ayat yang berbunyi “jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, …” menunjukan juga Yang Di Pertuan Agong TIDAK perlu bertindak mengikut nasihat sekiranya tidak dikehendaki oleh Perlembagaan. Perkataan “jika” ini adalah jelas maksudnya.
3. Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan
Ayat bagi Fasal ini berbunyi:
“(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,
dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.”
Di sini terdapat tiga kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, iaitu sebagaimana termaktub dalam Perkara 40(2)(a)(b) dan (c). Kuasa budi-bicara ini dengan jelas bermaksud, Yang di-Pertuan Agong tidak perlu menerima atau menunggu nasihat Jemaah Menteri dalam melaksana tiga perkara tersebut.
Mengikut Perkara 40(2)(a), Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa untuk memilih siapa sahaja untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak terikat pada kehendak Perdana Menteri yang sebelum itu sekiranya tiada parti yang memenangi undi majoriti. Kuasa ini boleh juga di lihat di Perkara 43(2) (a). Persoalan yang kerap di tanya adalah, adakah Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak dan kuasa untuk menyingkirkan Perdana Menteri? Jawapan ini boleh di lihat di seksyen 29 kepada Jadual kesebelas perlembagaan Persekutuan seperti berikut:
29. Kuasa untuk melantik termasuklah kuasa untuk membuang kerja-
Jika suatu undang-undang bertulis memberi mana-mana orang atau pihak berkuasa kuasa untuk membuat perlantikan bagi memegang apa-apa jawatan atau kedudukan, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung mana-mana orang yang dilantik dan melantik seorang lain buat sementara bagi menggantikan mana-mana orang yang digantung sedemikian atau bagi menggantikan mana-mana pemegang jawatan atau kedudukan yang sakit atau tidak hadir.
Dengan syarat bahawa jika kuasa orang atau pihak berkuasa itu untuk membuat perlantikan itu hanya boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan seseorang atau sesuatu pihak berkuasa lain, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa untuk membuang kerja itu hanya boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan orang atau pihak berkuasa yang lain itu.
Mengikut Perkara 40(2)(b), Antara kuasa budi-bicara Yang di-Pertuan Agong yang sentiasa mencari perbahasan secara ilmiah atau politik ialah kuasa budi-bicara untuk membubarkan Parlimen setelah terdapat ‘permintaan’ Perdana Menteri. Peruntukan ini jelas menunjukan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh menolak atau menangguhkan permohonan untuk membubarkan parlimen. Baginda juga boleh membubarkan atau menggantung Parlimen tetapi hanya boleh membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri.
Di peringkat Persekutuan, kita belum pernah melihat kuasa ini dilaksana atau cuba dilaksana oleh Yang di-Pertuan Agong. Sebagaimana pengalaman di negeri-negeri, seperti Perak dan Kelantan kita telah melihat kuasa budi-bicara raja-raja Melayu telah dilaksanakan. Terdapat pelbagai reaksi, komen dan protes yang dibuat oleh pelbagai pihak. Namun, dari segi peruntukan perlembagaan, ia adalah kuasa budi-bicara raja dan dari sudut sejarah, kuasa ini telah diperjelaskan dalam segmen Ringkasan Cadangan Suruhanjaya Perlembagaan dahulu. Selain daripada itu, peruntukan Perlembagaan tersebut menggunakan perkataan ‘permintaan’ bagi membezakannya dengan perkara-perkara yang memerlukan raja-raja bertindak menurut ‘nasihat’.
Dalam konteks, setelah kita memahami bahawa raja-raja Melayu adalah raja berperlembagaan, maka, persoalannya ialah, adakah raja-raja boleh menolak nasihat jemaah Menteri dalam perkara yang tidak tertakluk dalam fasal-fasal kuasa budi-bicara? Jika nasihat perlu dipatuhi oleh Yang di-Pertuan Agong. Ini sebenarnya sukar dinyatakan sama adala boleh atau tidak atau, berperlembagaan atau tidak untuk raja-raja tidak menerima nasihat Perdana Menteri sekiranya nasihat tersebut memudaratkan falsafah negara. Oleh itu, walaupun baginda adalah raja berperlembagaan, dalam keadaan sukar dan bercanggah dengan falsafah negara, maka, baginda harus bijaksana dan berwibawa dalam mengimbangi kedua perkara ini. Dalam membuat pertimbangan tersebut, sudah tentu kepentingan negara perlu diberi keutamaan. Sebagaimana Raja Bhumibol, baginda dilihat dalam banyak ketika menggunakan kewibawaan dan kebijaksanaan baginda walaupun baginda juga merupakan raja berperlembagaan.
Perkara 40(2)(c) menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk meminta mengadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja jika terdapat isu berkaitan baginda atau raja-raja melayu yang lain:
“(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.” Ini bekemungkinan berkaitan juga dengan Perkara 153 (hak keistemewaan orang melayu), 181 (Kedaulatan raja-raja melayu), 182 ( Mahkamah Khas), 183 ( Tindakan terhadap Yang di-Pertuan Agong).
- Akhir sekali dalam perkara 40 Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara 40(3) yang berbunyi:
“(3) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang diPertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain—
(a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;
(b) fungsi yang berkenaan dengan penjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.”
Perkara 40(3) memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak melalui undang-undang persekutuan (Contoh: Akta) dimana Akta berkenaan menamakan mana-mana orang atau kumpulan orang yang bukan dari jamaah menteri, dengan syarat Baginda telah berunding dengan mereka atau atas syor mereka. Akta tersebut juga menjelaskan apakah fungsi yang harus di jalankan. Contohnya adalah Lembaga Pengampunan di bawah perkara 42 perlembagaan Persekutuan. Walaubagaimana pun, Perkara 40(3) (a) ianya tidak termasuk fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicara Baginda, dan juga Perkara 40(3)(b) ianya tidak termasuk fungsi yang berkenaan perjalanan peruntukan yang ada dibuat di dalam mana Perkara lain di dalam Perlembagaan Persekutuan. 40(3)(b) bermakna termasuk fungsi yang perlu mengikut “nasihat”.
Antara Fungsi Fungsi Yang Di Pertuan Agong yang perlu mengikut Nasihat adalah seperti berikut:
- Perkara 43(2)(b) : Melantik menteri.
- Perkara 43(5) : Membatalkan pelantikan menteri.
- Perkara 43A(1) : Melantik timbalan-timbalan menteri.
- Perkara 121(4) : Menentukan tempat pejabat pendaftaran utama bagi mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
- Perkara 122(1A): Melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan.
- Perkara 122AB (1) : Melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai hakim Mahkamah tinggi untuk menjadi pesuruhjaya kehakiman.
- Perkara 122B (1): Melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan hakim-hakim yang lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
- Perkara 122B : Pertukaran hakim dari sautu Mahkamah Tinggi ke suatu Mahkamah Tinggi lain.
- Perkara 125 (3) : melantik tribunal untuk pecat hakim.
- Perkara 125(3B) : Menetapkan secara bertulis suatu kod etika tentang tatacara yang hendak di ikuti dan sanki yang boleh di kenakan terhadapa hakim.
- Perkara 141A (2): Melantik Suruhanjaya Pendidikan.
- Perkara 144 (3) : Menetapkan Jawatan Khas apa-apa jawatan yang di yang di pegang oleh ketua atau timbalan ketua sesuatu jabatan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan.
- Perkara 145: Melantik Peguam Negara.

WASIAT RAJA-RAJA MELAYU
Wasiat Raja-raja Melayu merujuk kepada 7 wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 .
Wasiat sembilan Raja Melayu itu terdiri dari empat Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu, disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.
Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai perkara-perkara (fasal-fasal) tertentu.
TUJUH (7) WASIAT TERSEBUT ADALAH:
1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYUsehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;
5. Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.
PERKARA-PERKARA (FASAL-FASAL) YANG DI MAKSUDKAN ADALAH MERJUK KEPADA:
Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5): Kedudukan Yang di pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam Bagi negeri-negeri yang di sebutkan
Perkara 11 : Menjaga kebebasan beragama
Perkara 12: Menjaga Hak Berkenaan dengan Pendidikan
Perkara 38 (5): Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh hak orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
Perkara 152: Bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa kebangsaan
Perkara 153: Perizaban Kuota berkenaan dengan perkhidmatan permit dan sebagainya bagi orang melayu
Perkara 181 (1).: Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan persekutuan, kedaulatan, prerogative, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogative, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-PembesarMemerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.
Fasal-fasal tersebut diatas memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

KUASA YANG DI PERTUAN AGONG
TERHADAP ANGKATAN TENTERA MALAYSIA
PENUBUHAN REJIMEN ASKAR MELAYU
Sejak tahun 1902, Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat DiRaja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.
Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai satu rejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya). Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu.
Rejimen Askar melayu hanya untuk orang melayu sahaja
Walaupun Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan tegas menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang (8(1)), dan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam perlantikan kepada apa-apa jawatan atau perkerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau perjalanan apa-apa pertukangan, profession, kerjaya atau perkerjaan, Perkara 8(5) (f) membenar kan ATM mengambil orang Melayu sahaja untuk Rejimen Askar Melayu seperti berikut:
Perkara 8(5)(f) Perlembagaan Persekutuan: Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang – Apa –apa peruntukan yang menghadkan pengambilan masuk tentera ke dalam Rejimen Askar melayu kepada orang melayu.
Dengan kuasa yang di beri oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Angkatan Tentera juga ada membuat peruntukan yang sama; Mentauliahkan pegawai (seksyen 6 AAT72) dan Pengambilan masuk dan terma perkhidmatan bagi angkatan tetap (Seksyen 16 AAT72) seperti berikut:
6. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh atas syor Majlis Angkatan Tentera mengurniakan sesuatu tauliah dalam Tentera darat, Tentera laut atau Tentera Udara kepada mana-mana orang, mengikut mana-mana yang berkenaan: dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh ditauliahkan dalam Askar Melayu diraja.
Dan siapa yang boleh diambil masuk
16. (1) Mana-mana orang boleh diambil masuk ke dalam angkatan tetap: dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh diambil masuk ke dalam Askar Melayu diraja.
WASIAT RAJA-RAJA MELAYU KE TIGA
Pada 5 haribulan ogos 1957, Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Raja-raja melayu telah membuat wasiat dan wasiat nombor 3 berbunyai: “Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar Negara.” Maka wujudnya satu Perkara (fasal) yang penting bagi Angkatan tentera Malaysia didalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 41 Perlembagaan Persekutuandengan tajuk “Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.”
Perkara 41 perlembagaan dengan jelas dan terang meyebut: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.”
Perlembagaan Persekutuan secara terus memberi jawatan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan ini kepada Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tidak ada tertulis di mana-mana Perkara didalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan jawatan ini sebagai jawatan “ istiadat” (Ceremonial) seperti yang di war warkan oleh ramai pihak termasuk para akademik yang mengaku diri mereka sebagai pakar perlembagaan.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) berpangkat Jeneral, Laksamana atau Jeneral TUDM. Beliau adalah ketua profesional ATM yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Beliau memerintah dan mentadbir ATM melalui Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) dan Majlis Angkatan Tentera (MAT). Organisasi Jawatan Kuasa Panglima-Panglima ATM adalah seperti berikut:
Panglima Tertinggi : Laksamana Armada/Fil Marshal/Mashal TUDM yang memakai lima bintang.
Yang diPertuan Agong melantik Panglima Angkatan tentera yang memakai empat bintang.
Di bawah PAT adalah:
Panglima Tentera Darat (Jeneral empat bintang ) Markas Tentera Darat (MK TD)
Panglima Tentera Laut (Laksamana empat bintang ) Markas Tentera Laut(MK TL)
Panglima Tentera Udara (Jeneral TUDM empat bintang) Markas Tentera Udara (MK TU)
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (Leftenan Jeneral tiga bintang ) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP)
Ketua Staf Markas ATM (Leftenan Jeneral tiga bintang) Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM)
Panglima Angkatan Bersama (Laksamana Madya tiga bintang) Markas Angkatan Bersama (MK AB)
HUBUNGAN RAJA RAJA MELAYU DAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM)
Setiap Perkhidmatan Tentera Udara dan Laut mempunyai Kolonel dan Keptan Kehormat dari kalangan Raja-Raja Melayu; dan setiap Rejimen dan kor tentera tentera darat juga mempunyai Kolonel yang di pertua Rejimen atau kor berkenanan. Agihan agihan jawatan istiadat ini adalah seperti berikut:
- KOLONEL YANG DI-PERTUA KOR PERKHIDMATAN DI-RAJA dan KOLONEL YANG DI-PERTUA REJIMEN ASKAR MELAYU DI-RAJA (R.A.M.D.)- DYMM Sultan Kedah
- KOLONEL YANG DI-PERTUA KOR KESIHATAN DI-RAJA dan KOLONEL YANG DI-PERTUA REJIMEN ASKAR JURUTERA DI-RAJA. – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan
- KOLONEL YANG DI-PERTUA KOR ORDNANS DI-RAJA dan KOLONEL YANG DI-PERTUA KOR ARMOR DIRAJA.: Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Darul Iman
- KOLONEL YANG DI-PERTUA KOR POLIS TENTERA DI-RAJA dan KOLONEL YANG DI-PERTUA REJIMEN KOR RENJER DI-RAJA.: Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis
- KOLONEL YANG DI-PERTUA REJIMEN SEMBOYAN DI-RAJA dan KOLONEL YANG DI-PERTUA KOR JURUTERA LETRIK DAN JENTERA DI-RAJA.: Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
- KOLONEL YANG DI-PERTUA REJIMEN ARTILERI DI-RAJA dan KOR RISIK DIRAJA.: Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Darul Naim
- KOLONEL KEHORMAT REJIMEN GRUP GERAK KHAS (G.G.K.): Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Darul Ta’zim
- KEPTEN YANG DI-PERTUA TENTERA LAUT DI-RAJA MALAYSIA.: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan
- KOLONEL KEHORMAT TENTERA UDARA DI-RAJA MALAYSIA.: Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Darul Makmur
Kebanyakan Sultan-Sultan yang memerintah telah di hantar oleh almarhum ayahanda mereka ke Maktab Tentera Diraja di dalam atau luar Negara muntuk mengikuti latihat Pegawai Kedet sebelum Raja-raja muda ini di tauliahkan dan berkhidmat dengan perkhidmatan atau kor tertentu untuk memberi pendedahan hidup sebagai pegawai tentera yang berdisplin dan memahami adat istiadat ATM sebelum mereka menjadi Sultan yang memerintah satu hari kelak.
PERKARA 132. PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM.
Perkataan “Awam” didalam Perkara 132 perlembagaan Persekutuan pastinya akan membuat sesetengah orang menjadi keliru sama ada ATM ini adakah awam atau tentera. Perkhidmatan Awam di sini bermaksud kesemua perkhidmatan yang disenaraikan dari 132 (1) (a) hingga (h) adalah kakitangan kerajaan yang di bayar gaji oleh rakyat untuk berkhidmat untuk rakyat (orang awam).
Dalam bahasa ingeris Perkhidmatan awam di sini bermaksud “Public Service”. Perkhidmatan “Awam” yang satu lagi dalam bahasa ingeris adalah “Civil Service” atau di dalam Perkara 132(1)(c) di gelar sebagai Perkhidmatan Awam AM Persekutuan atau “General Public Service service of the Federation”.
Apa-apa pun perkara 132 menyeraikan jenis jenis Perkhidmatan awam yang terdapat di dalam Kerajaan persekutuan Malaysia. Susun aturnya adalah kekal mengikut protokol yang di senaraikan. Kita lihat Perkara 132 perlembagaan Persekutuan seperti berikut:
132 (1) Bagi maksud Perlembagaan ini, perkhidmatan-perkhidmatan awam ialah—
(a) angkatan tentera;
(b) perkhidmatan kehakiman dan perundangan;
(c) perkhidmatan awam am Persekutuan;
(d) pasukan polis;
(e) (Dimansuhkan); (perkhidmatan keretapi, dipotong oleh Akta A885, seksyen 28, berkuat kuasa dari 24-06-1994.)
(f) perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133;
(g) perkhidmatan awam setiap Negeri; dan
(h) perkhidmatan pendidikan.
Kesemua perkhidmatan awam diatas di kawal selia oleh Suruhanjaya masing-masing kecuali Angkatan Tentera di kawal oleh satu majlis yang di namakan sebagai Majlis Angkatan Tentera. Suruhanjaya-Suruhanjaya Yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Perkara 138: Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Perkara 139: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Perkara 140: SuruhanJaya Pasukan Polis
Perkara 141A : Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
Kekeliruan banyak belaku kerana ramai yang beranggapan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengawal semua Perkhidmatan Awam yang tersenarai di bawah perkara 132 Perlembagaan Persekutuan. Anggapan ini adalah salah kerana Perkara 139 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengatakan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mempunyai bidang kuasa yang meliputi semua orang yang menjadi anggota perkhidmatan-perkhidmatan yang di sebut dalam perenggan (c) dan (f) fasal (1) Perkara 132. Dengan ini secara tidak langsung Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tidak mempunyai bidang kuasa terhadap Angkatan Tentera, Kehakiman dan perundangan, dan Pasukan polis.
Walaubagaimana pun jika kita lihat did dalam Suruhanjaya Kehakiman dan perundangan dan Pasukan polis, Perkidmatan Awam menduduki menjadi ahli-ahli penting di dalamnya. Kedua-dua perkhidmatan Kehakiman dan perundangan dan Pasukan polis mengikut skim dan syarat-syarat perkhidmatan sepertimana perkhidmatan awam amalkan dan ATM mempunyai skim dan syarat-syarat perkhidmatan yang berbeza.
Perkara 137. Majlis Angkatan Tentera.
(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Angkatan Tentera yang hendaklah bertanggungjawab di bawah kuasa am Yang di-Pertuan Agong bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera, dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya selain perkara yang berhubungan dengan penggunaan angkatan tentera bagi maksud operasi.
(2) Fasal (1) berkuat kuasa tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan, dan mana-mana undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi peletakhakan apa-apa fungsi mengenai angkatan tentera pada Majlis Angkatan Tentera.
(3) Majlis Angkatan Tentera hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut, iaitu:
(a) Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pertahanan, yang hendaklah menjadi Pengerusi;
(b) seorang anggota yang mewakili Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, yang hendaklah dilantik oleh Majlis Raja-Raja;
(c) Panglima Angkatan Tentera yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
(d) seorang anggota preman, iaitu orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha Pertahanan, yang hendaklah bertindak sebagai Setiausaha Majlis Angkatan Tentera;
(e) dua orang pegawai turus kanan Angkatan Tentera Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
(f) seorang pegawai kanan Tentera Laut Persekutuan yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong;
(g) seorang pegawai kanan Tentera Udara Persekutuan yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong;
(h) dua orang anggota tambahan, jika ada, sama ada anggota tentera atau preman, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
(4) Majlis Angkatan Tentera boleh bertindak walaupun ada kekosongan dalam keanggotaannya dan, tertakluk kepada Perlembagaan ini dan kepada undang-undang persekutuan, boleh membuat peruntukan bagi semua atau mana-mana perkara yang berikut:
(a) penyusunan kerjanya dan cara bagaimana fungsinya akan dilaksanakan, dan penyimpanan rekod dan minit;
(b) tugas dan tanggungjawab anggota Majlis itu masing-masing, termasuk pewakilan mana-mana kuasa atau tugasnya kepada mana-mana anggota Majlis itu;
(c) rundingan yang diadakan oleh Majlis itu dengan orang selain anggotanya;
(d) tatacara yang akan diikuti oleh Majlis itu pada menjalankan urusannya (termasuk menetapkan kuorum), melantik, mengikut pilihannya, seorang naib pengerusi daripada kalangan anggotanya, dan fungsi naib pengerusi;
(e) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Majlis itu perlu atau suai manfaat dibuat peruntukan mengenainya untuk melaksanakan fungsinya dengan lebih baik.
AKTA ANGKATAN TENTERA 1972
Akta Angkatan Tentera Persekutuan telah diluluskan oleh Parlimen Persekutuan bertujuan untuk menyatukan kesemua peraturan peraturan yang mentadbikan ketiga-tiga perkhidmatan ATM (Tentera Darat, Laut dan Udara) di bawah satu Undang-Undang, ianya jugan menwujudkan fungsi-fungsi dan tanggongjawab-tanggongjawab Yang di-Pertuan Agong dalam kedudukan baginda sebagai Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Akta ini memperuntukan tanggongjawab-tanggongjawab berikut kepada Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan:
KEANGGOTAAN ANGKATAN TETAP
5. (1) Angkatan tetap hendaklah terdiri daripada kor, kapal, pasukan dan komponen lain sebagaimana yang diwujudkan dan ditubuhkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Angkatan Tentera dengan kelulusan yang di-Pertuan Agong melalui perintah yang disiarkan dalam warta.
(2) Tiap-tiap kor, kapal, pasukan atau komponen lain yang diwujudkan atau ditubuhkan melalui perintah yang dibuat di bawah peruntukan subseksyen terdahulu yang akhir disebut hendaklah mempunyai dan dikenali dengan nama atau gelaran sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Angkatan Tentera dengan kelulusan yang di-Pertuan Agong dalam perintah itu.
(3) Apa-apa sebutan dalam mana-mana undang-undang bertulis mengenai mana-mana kor, kapal, pasukan atau komponen lain yang diwujudkan, ditubuhkan dan dinamakan seperti yang disebut terdahulu hendaklah ditafsirkan sebagai suatu sebutan mengenai kor, kapal, pasukan atau komponen lain itu atau, sebagaimana yang dikehendaki oleh konteksnya, mengenai anggotanya.
(4) sesuatu kor, pasukan atau komponen lain hendaklah terdiri daripada unit sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis Angkatan Tentera dari semasa ke semasa.
(5) Majlis Angkatan Tentera, dengan kelulusan yang di-Pertuan Agong, boleh dari semasa ke semasa, melalui perintah yang disiarkan dalam warta melakukan mana-mana daripada perkara yang berikut, iaitu:
(a) membubarkan mana-mana kor, pasukan atau komponen lain itu keseluruhannya atau sebahagiannya;
(b) menyatukan mana-mana kor dengan mana-mana kor lain atau mana-mana pasukan dengan mana-mana pasukan lain atau mana-mana komponen dengan mana-mana komponen lain;
(c) memotong nama mana-mana kapal daripada daftar; atau
(d) mengubah atau meminda nama atau gelaran mana-mana kor, kapal, pasukan atau komponen lain.
MENTAULIAHKAN DAN MELANTIK PEGAWAI ANGKATAN TETAP
Mentauliahkan pegawai
6. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh atas syor Majlis Angkatan Tentera mengurniakan sesuatu tauliah dalam Tentera darat, Tentera laut atau Tentera Udara kepada mana-mana orang, mengikut mana-mana yang berkenaan:
dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh ditauliahkan dalam Askar Melayu diraja.
(2) Jika orang yang dikurniakan sesuatu tauliah di bawah subseksyen (1) ialah seorang pegawai dalam angkatan sukarela, Majlis Angkatan Tentera boleh menerima perkhidmatan yang diambil kira pegawai itu, jika ada, termasuk pangkatnya yang terakhir dan perkara lain yang berkaitan dengannya, sebagai perkhidmatan yang diambil kira.
(3) bagi maksud subseksyen (2), seksyen 15 hendaklah terpakai.
Jenis Tauliah
7. (1) Sesuatu tauliah yang dikurniakan di bawah peruntukan seksyen terdahulu yang akhir disebut itu boleh dikurniakan sama ada bagi sesuatu tempoh yang tidak ditentukan atau bagi sesuatu masa tertentu dan hendaklah dalam salah satu hal itu mengikut bentuk yang ditetapkan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 15 dan hendaklah dikeluarkan di bawah Mohor yang di-Pertuan Agong dan dicapkan dengan Mohor besar Persekutuan.
(2) Sesuatu tauliah yang dikeluarkan bagi sesuatu tempoh yang dinyatakan boleh dilanjutkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sebagaimana yang difikirkan suai manfaat.
Tauliah Kehormat
8. Yang di-Pertuan Agong boleh mengurniakan tauliah kehormat dalam angkatan tetap kepada orang yang difikirkannya layak.
Pembatalan Tauliah
9. Yang di-Pertuan Agong boleh atas syor Majlis Angkatan Tentera pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa sebab membatalkan mana-mana tauliah yang dikurniakan di bawah peruntukan bahagian ini.
Kenaikan Pangkat
12. (1) Majlis Angkatan Tentera atau seseorang pegawai yang diberi kuasa bagi pihaknya boleh dari semasa ke semasa menaikkan pangkat seseorang kadet laut atau pegawai muda laut hingga dan termasuk pangkat pemangku naib leftenan laut.
(2) Majlis Angkatan Tentera atau seseorang pegawai yang diberi kuasa bagi pihaknya boleh dari semasa ke semasa menaikkan pangkat pegawai bertauliah hingga dan termasuk pangkat kapten dalam Tentera darat atau yang setaraf dengannya dalam Tentera laut dan Tentera Udara, mengikut mana-mana yang berkenaan.
(3) Kenaikan pangkat kepada pangkat yang lebih tinggi daripada yang dinyatakan dalam subseksyen (2) hendaklah dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong atas syor Majlis Angkatan Tentera.
Pertukaran daripada satu Perkhidmatan kepada suatu Perkhidmatan lain atau dalam Perkhidmatan yang sama
13. (1) seseorang pegawai bertauliah atau seseorang yang dilantik di bawah seksyen 10 boleh ditukarkan daripada satu Perkhidmatan kepada suatu Perkhidmatan lain, atau daripada satu kor atau cawangan kepada suatu kor atau cawangan lain dalam Perkhidmatan yang sama, dalam angkatan tetap—
(a) dengan keizinannya sendiri;
(b) dengan perintah Majlis Angkatan Tentera yang dibuat dengan kelulusan yang di-Pertuan Agong; atau
(c) dengan perintah Majlis Angkatan Tentera atau pegawai yang diberi kuasa bagi pihaknya pada bila-bila masa dalam masa berkuat kuasanya Proklamasi darurat yang dikeluarkan di bawah Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan.
Peraturan-peraturan berkenaan dengan pentauliahan, dsb., pegawai
15. Majlis Angkatan Tentera, dengan kelulusan yang di-Pertuan Agong, boleh membuat peraturan-peraturan termasuk peraturanperaturan yang memperuntukkan perkara yang boleh dikeluarkan melalui Perintah Majlis Angkatan Tentera berkenaan dengan pentauliahan dan pelantikan pegawai, terma perkhidmatan mereka, termasuk penyerapan, pertugasan dan peminjaman mana-mana pegawai kepada mana-mana badan, angkatan atau perkhidmatan, kenaikan pangkat, persaraan, peletakan jawatan, pembuangan kerja dan apa-apa perkara lain sebagaimana yang difikirkan perlu atau suai manfaat oleh Majlis Angkatan Tentera bagi melaksanakan dengan lebih sempurna peruntukan bahagian ini.
22. (1) seseorang askar-lasykar boleh ditukarkan daripada satu Perkhidmatan kepada satu Perkhidmatan lain dalam angkatan tetap—
(a) dengan keizinannya sendiri;
(b) dengan perintah Majlis Angkatan Tentera yang dibuat dengan kelulusan yang di-Pertuan Agong; atau
(c) dengan perintah Majlis Angkatan Tentera atau seorang pegawai yang diberi kuasa bagi pihaknya pada bila-bila masa dalam masa berkuat kuasanya Proklamasi darurat yang dikeluarkan di bawah Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan.
Peraturan-peraturan mengenai pengambilan masuk
36. Majlis Angkatan Tentera, dengan kelulusan yang di-Pertuan Agong, boleh membuat peraturan-peraturan termasuk peraturanperaturan yang memperuntukkan perkara yang boleh dikeluarkan melalui Perintah Majlis Angkatan Tentera berkenaan dengan pengambilan masuk orang ke dalam angkatan tetap, syarat perkhidmatan mereka termasuk penyerapan, pertugasan dan peminjaman kepada mana-mana badan, angkatan atau perkhidmatan, kenaikan pangkat mereka, pemberhentian kerja mereka, pembuangan kerja mereka dan apa-apa perkara lain mengenai askar-lasykar sebagaimana yang difikirkan perlu atau suai manfaat oleh Majlis Angkatan Tentera bagi melaksanakan dengan lebih sempurna peruntukan bahagian ini.
Pihak Berkuasa Sidang (Mahkamah Tentera)
104(3)(c): Apa-apa Waran atau pewakilan kuasa di bawah seksyen ini untuk memanggil mahkamah tentera bersidang— (c) boleh diubah atau dibatalkan, sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya, oleh suatu Waran Seri Paduka Baginda yang kemudiannya atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh pegawai yang memberikan waran itu atau pengganti jawatannya.
Kelulusan serta pengesahan dikehendaki bagi hukuman mati yang tertentu
127. (1) Sesuatu hukuman mati yang telah disahkan tidak boleh dijalankan melainkan jika diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kajian semula dapatan dan hukuman mahkamah tentera
128(2)(a): Pihak berkuasa kajian semula itu bagi maksud Akta ini ialah— (a) Yang di-Pertuan Agong
Peruntukan jika tertuduh didapati gila
131. (1) Jika, apabila seseorang dibicarakan oleh mahkamah tentera, ternyata pada mahkamah tentera itu bahawa tertuduh itu disebabkan oleh gila tidak berupaya untuk dibicarakan, maka mahkamah tentera itu boleh membuat dapatan sedemikian; dan jika dapatan itu disahkan mengikut peruntukan yang berikut dalam seksyen ini, tertuduh hendaklah ditahan dalam jagaan mengikut cara yang diperuntukkan oleh atau di bawah peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Bahagian ini sehingga arahan daripada Yang di-Pertuan Agong diketahui atau sehingga masa yang lebih awal yang tertuduh itu berupaya untuk dibicarakan.
(2) Jika, semasa seseorang dibicarakan oleh mahkamah tentera, ternyata pada mahkamah tentera itu bahawa keterangan yang ada, selain apa-apa soal mengenai gila, menyokong dapatan bahawa tertuduh itu bersalah atas apa-apa kesalahan, tetapi pada masa perbuatan atau peninggalan yang menjadi kesalahan itu tertuduh itu adalah gila, mahkamah tentera hendaklah mendapati tertuduh itu tidak bersalah atas kesalahan itu disebabkan oleh gila dan kemudiannya tertuduh itu hendaklah ditahan dalam jagaan mengikut cara yang diperuntukkan oleh atau di bawah peraturan-peraturan Majlis Angkatan Tentera sehingga arahan daripada Yang di-Pertuan Agong diketahui.
(3) Dalam hal apa-apa dapatan seperti yang disebut terdahulu, Yang di-Pertuan Agong boleh memerintahkan supaya tertuduh itu dijaga dengan selamat selama yang diperkenankan olehnya di tempat dan mengikut cara yang difikirkannya sesuai.
[Nota : Bagi kuasa pengampunan perihal Mahkamah Tentera sila rujuk Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan]
Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan: “Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera …”
Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan: “…tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undangundang persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah tentera …”
Pelantikan Ketua Hakim Peguam
150. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seseorang yang sesuai untuk melaksanakan berkenaan dengan angkatan tentera fungsi yang boleh dijalankan oleh Ketua Hakim Peguam dengan sah di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.
Kuasa Majlis Angkatan Tentera untuk membuat peraturan peraturan di bawah Bahagian ini
155. Tertakluk kepada peruntukan seksyen 136 Majlis Angkatan Tentera dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong boleh membuat peraturan-peraturan berkenaan dengan perkara yang baginya peraturan-peraturan dan Perintah Majlis Angkatan Tentera boleh dibuat di bawah peruntukan yang disebut terdahulu dalam Bahagian ini.
GAJI, PELUCUTHAKAN DAN POTONGAN
Kuasa Majlis Angkatan Tentera untuk membuat PeraturanPeraturan Gaji dan elaun
157. (1) Majlis Angkatan Tentera boleh dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong membuat peraturan-peraturan termasuklah peraturan-peraturan yang memperuntukkan perkara yang boleh dikeluarkan melalui Perintah Majlis Angkatan Tentera (kemudian daripada ini disebut “Peraturan-Peraturan Gaji dan elaun”) berkenaan dengan gaji, elaun dan emolumen lain bagi pegawai dan askar-lasykar angkatan tetap dan perkara lain yang bersangkutan dengannya dan khususnya berkenaan dengan peruntukan yang berikut dalam Bahagian ini.
(2) Walau apa pun tarikh yang ditetapkan bagi permulaan kuat kuasa Akta ini menurut seksyen 1 atau peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa peraturan yang dibuat di bawah subseksyen (1) boleh diberikan kuat kuasa ke belakang kepada apa-apa tarikh, sama ada sebelum atau selepas permulaan berkuat kuasa Akta ini.
(3) Walau apa pun tarikh yang ditetapkan bagi permulaan kuat kuasa Akta ini menurut seksyen 1 atau peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, Majlis Angkatan Tentera dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong boleh meminda apa-apa kaedah, peraturan, perintah dan surat cara lain yang dibuat di bawah enakmen dan ordinan yang dimansuhkan oleh subseksyen 217(1) yang perundangan subsidiari itu masih berkuat kuasa menurut kuasa subseksyen (2) seksyen itu dan apa-apa pindaan yang dibuat di bawah ini kepada perundangan subsidiari yang masih berkuat kuasa itu boleh diberikan kuat kuasa ke belakang kepada apa-apa tarikh, sama ada sebelum atau selepas permulaan kuat kuasa Akta ini.
Kuasa memerintah
168. (1) Bagi mengelakkan keraguan, dengan ini diisytiharkan bahawa Majlis Angkatan Tentera boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat peraturan-peraturan yang mengadakan peruntukan bagi orang, yang menjadi anggota angkatan tentera, yang padanya diletak hak pemerintahan ke atas angkatan tentera atau mana-mana bahagiannya atau anggotanya dan berkenaan dengan hal keadaan yang dalamnya pemerintahan seperti yang disebut terdahulu kena dijalankan.
(2) Berhubung dengan anggota-anggota angkatan tentera apabila berada dalam kapal udara, subseksyen yang terdahulu hendaklah mempunyai kuat kuasa seolah-olah sebutan mengenai anggotaanggota angkatan tentera termasuklah sebutan mengenai manamana orang yang memerintah sesuatu kapal udara.
(3) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh menyentuh mana-mana kuasa yang terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong oleh mana-mana undang-undang bertulis yang lain.
Kuasa Majlis Angkatan Tentera untuk membuat peraturanperaturan pencen, dsb.
187. (1) Majlis Angkatan Tentera dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong boleh membuat peraturan-peraturan termasuklah peraturan-peraturan yang memperuntukkan perkara yang boleh dikeluarkan melalui Perintah Majlis Angkatan Tentera berkenaan dengan kelayakan anggota-anggota angkatan tetap dan orang tanggungan mereka berkenaan dengan gaji bersara, pencen, ganjaran dan pemberian lain; dan peraturan-peraturan itu boleh menyatakan syarat yang meliputi pemberian dan kadar gaji bersara, pencen, ganjaran dan pemberian lain itu, dan boleh mengandungi apa-apa peruntukan lain yang mungkin perlu untuk menjalankan maksud seksyen ini.
(2) Walau apa pun tarikh yang ditetapkan bagi permulaan kuat kuasa Akta ini menurut seksyen 1 atau peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa peraturan yang dibuat di bawah subseksyen (1) boleh diberi kuat kuasa ke belakang kepada sesuatu tarikh, sama ada sebelum atau selepas permulaan kuat kuasa Akta ini.
(3) Walau apa pun tarikh yang ditetapkan bagi permulaan kuat kuasa Akta ini menurut seksyen 1 atau peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, Majlis Angkatan Tentera dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong boleh meminda apa-apa kaedah, peraturan, perintah dan surat cara lain yang dibuat di bawah enakmen dan ordinan yang dimansuhkan oleh subseksyen 217(1) yang perundangan subsidiari itu masih berkuat kuasa menurut kuasa subseksyen (2) seksyen itu dan apa-apa pindaan yang dibuat di bawah ini kepada perundangan subsidiari yang masih berkuat kuasa itu boleh diberi kuat kuasa ke belakang kepada sesuatu tarikh, sama ada sebelum atau selepas permulaan kuat kuasa Akta ini.
Kerahan untuk berkhidmat melalui proklamasi
190. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui Proklamasi, mengerahkan untuk berkhidmat keseluruhan atau mana-mana bahagian Simpanan Angkatan Tetap.
194. Majlis Angkatan Tentera boleh dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong membuat peraturan-peraturan termasuk peraturanperaturan yang memperuntukkan perkara-perkara yang boleh dikeluarkan melalui Perintah Majlis Angkatan Tentera berkenaan dengan pentadbiran dan tatatertib Simpanan Angkatan Tetap dan, dengan tidak menjejaskan keluasan makna perkara yang disebut terdahulu, boleh membuat peraturan-peraturan—
(a) untuk mengerah anggota simpanan untuk latihan;
(b) untuk mengerah untuk perkhidmatan sepenuh masa;
(c) untuk mengadakan peruntukan bagi gaji dan elaun anggota simpanan;
(d) yang menghendaki anggota simpanan melaporkan diri mereka dari semasa ke semasa, dan untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa yang layak yang ditetapkan oleh peraturan-peraturan itu sebelum meninggalkan Malaysia;
(e) yang mengadakan peruntukan bagi apa-apa perkara lain yang dikehendaki ditetapkan oleh Bahagian ini.
Keanggotaan angkatan sukarela
Mentauliahkan pegawai
198. (1) Pegawai dalam angkatan sukarela hendaklah ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
(2) Sesuatu tauliah yang dikurniakan di bawah subseksyen (1) boleh dikurniakan sama ada bagi sesuatu tempoh yang tidak ditentukan atau bagi sesuatu masa tertentu dan hendaklah dalam salah satu hal mengikut bentuk yang ditetapkan oleh peraturanperaturan yang dibuat di bawah seksyen 207 dan hendaklah dikeluarkan di bawah Mohor Yang di-Pertuan Agong dan dicapkan dengan Mohor Besar Persekutuan.
(3) Sesuatu tauliah yang dikeluarkan bagi sesuatu tempoh yang dinyatakan boleh dilanjutkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh atau tempoh-tempoh sebagaimana yang difikirkan suai manfaat.
(4) Yang di-Pertuan Agong boleh, tanpa menyiarkan apa-apa sebab baginya, membatalkan mana-mana tauliah.
(5) Yang di-Pertuan Agong boleh mengurniakan tauliah kehormat dalam angkatan sukarela kepada orang yang difikirkannya patut.
(6) Pegawai angkatan sukarela boleh dari semasa ke semasa dinaikkan pangkat oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicaranya.
Mengerah untuk berkhidmat
202. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui Proklamasi, mengerah untuk berkhidmat keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada mana-mana angkatan sukarela.
Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat kaedah-kaedah
206. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh membuat kaedah-kaedah termasuk kaedah-kaedah yang memperuntukkan perkara yang boleh dikeluarkan melalui Perintah Majlis Angkatan Tentera berkenaan dengan—
(a) gaji, elaun, ganjaran, pencen dan apa-apa pemberian lain yang kena dibayar kepada pegawai dan anggota sukarela;
(b) pembayaran pencen atau ganjaran kepada orang tanggungan pegawai dan anggota sukarela yang terbunuh atau mati kerana kecederaan yang berlaku pada menjalankan, atau kerana sakit yang disebabkan secara langsung oleh, perkhidmatan mereka.
(2) Walau apa pun tarikh yang ditetapkan bagi permulaan kuat kuasa Akta ini menurut seksyen 1 atau peruntukan manamana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa kaedah yang dibuat di bawah subseksyen (1) boleh diberi kuat kuasa ke belakang kepada apa-apa tarikh, sama ada sebelum atau selepas permulaan kuat kuasa Akta ini.
Pemakaian Akta bagi penumpang kapal dan kapal udara Seri Paduka Baginda
211. Bahagian V hendaklah, setakat dan tertakluk kepada ubah suaian sebagaimana yang ditetapkan oleh peraturan-peraturan yang dibuat oleh Majlis Angkatan Tentera dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, terpakai bagi orang yang menaiki sebagai penumpang di atas kapal atau kapal udara Seri Paduka Baginda (yang bukannya orang yang tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan di bawah Akta ini menurut kuasa mana-mana daripada peruntukan Akta ini yang disebut terdahulu), sebagaimana terpakai bagi orang yang tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan di bawah Akta ini
KES KES MAHKAMAH RAYUAN DAN PERSEKETUAN MENGENAI KUASA YANG DI PERTUAN AGONG TERHADAP ANGKATAN TENTERA.
Berikut adalah beberapa kes yang di putuskan oleh mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong yang di laksanakan oleh Majlis Angkatan Tentera;
Keputusan mahkamah rayuan dalam kes Majlis Angkatan Tentera & Kerajaan Malaysia Lwn Mejar Fadzil Bin Arshad (2011), mahkamah Rayuan telah memutuskan:
- Keputusan untuk memberhentikan hubungan diantara pemohon dengan Responden adalah di dalam budicara pemohon dan Yang di-Pertuan Agong.
- Adalah jelas bahawa seseorang pegawai di dalam Angkatan Tentera memegang jawatannya di atas kehendak dan pekenan Yang di-Pertuan Agong atas sebab peruntukan seksyen 9 akta AT72 dengan ayat yang berbunyi “pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa sebab membatalkan mana-mana tauliah yang dikurniakan”.
- Mahkamah tidak ada kuasa untuk menyiasat sebab sebab seseorang pegawai angkatan tentera dan sebab sebab responden di tamatkan jawatannya.
- Pencualian bertulis tentang perkhidmatan angkatan tentera di dalam Perkara 135(1) hendaklah bermaksud seseorang Pegawai di dalam angkatan tentera tidak menikmati hak untuk didengar yang di beri kepada perkhidmatan awam yang lain yang tersenarai di Perkara 132 perlembagaan Persekutuan.
Keputusan Mahkamah Perseketuan dalam kes ABDUL SALAM HUSIN lwn MAJLIS ANGKATAN TENTERA & seorang lagi [2011] 2 CLJ 1
James Foong [FCJ berhujah untuk mahkamah Persekutuan memutuskan:-
- Pengtauliahan sesorang ahli angkatan tentera adalah di atas budicara Yang di-Pertuan Agong: durante bene placito ( yang bermaksud: semasa memihak kepada). Apabila sesuatu pengtauliahan itu memihak kepada budicara Yang Di Pertuan Agong bererti ianya boleh di tarik balik atau di batalkan pada bila-bila masa bergantung kepada budicara Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong tidak perlu memberi apa-apa sebab untuk bertindak sedimikian.
- Dasar Awam – Ahli-ahli angkatan tentera memainkan peranan yang penting didalam pertahanan Negara, kesinambungan jawatan mana-mana ahli-ahlinya mungkin dalam keadaan tertentu akan memudaratkan kepentingan Negara; keselamatan Negara mungkin akan terjejas jika ahli itu di benarkan terus berkhidmat.
- Keperluan untuk menjaga tatatertib dalam angkatan tentera adalah tersangat penting jika tentera perlu berfungsi dan bereffisyen. Sebarang tolak ansur akan menjejaskan tatatertib dan mengancam saluran pemerintahan yang perlu untuk mempertahankan Negara dengan berkesan.
- Jika mahkamah memberi keputusan positive, keseluruhan fasal 1 didalam perkara 135 perlembagaan Persekutuan termasuk seksyen 9 akta angkatan tentera akan menjadi tidak bermakna.
- Undang-undang tertinggi Negara dan Akta Angkatan Tentera telah denga secara tersurat dan tegas menyatakan kecualian hak untuk di dengar untuk ahli-ahli Angkatan Tentera.
- Undang-undang adalah jelas dan di buat sedimikian untuk langkah kebaikan untuk menafikan hak comman law mengenai audi alteram partem didalam angkatan tentera.
- Peruntukan yang jelas mengenai undang-undang di dalam fasal 1 kepada perkara 135 perlembagaan Persekutuan di baca bersama perkara 132 and seksyen 9 akta angkatan tentera melupuskan hak sedemikian untuk di dengar untuk ahli-ahli angkatan tentera membuatkan mahkamah tidak ada kuasa atau membantu untuk mentafsirkan undang-undang untuk mendapatkan hak tersebut. Apa apa cubaan untuk membaca undang-undang tersebut bagi menwujudkan hak tersebuat akan kesudahannya mengalahkan tujuan sebenar dan semangat perlembagaan persekutuan dan peruntukan yang relevan dalam Akta Angkatan Tentera.
Keputusan Mahkamah Rayuan dalam Kes MAJLIS ANGKATAN TENTERA lwn MOHD NURUL AMI BIN MOHD BASRI (2019).
Korum: Abdul Rahman Sebli (JCA), Zaleha Yusof (JCA), Suraya Othman (JCA)
Untuk Perayu: Kogilambigai a/p Muthusamy, Senior Federal Counsel (AG Chambers)
Untuk Responden: Manjit Singh Man (Messrs Manjit Singh Man & co)
Mahkamah Memutuskan:
1. Olih sebab seksyen 15 Akta Angkatan Tentera , MAT di beri kuasa oleh undang-undang untuk membuat peraturan-peraturan yang mereka fikir perlu … Ianya di perbuat dibawah kuasa MAT, garis panduan berkenaan adalah sah dan mempunyai kuat kuasa undang-undang.
2. Di dalam apa keadaan sekalipun, walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai satu garis panduan yang mempunyai kuasa undang-undang, ianya tidak boleh mengatasi garis panduan Angkatan Tentera. Ini adalah kerana garis panduan Angkata tentera adalah garis panduan khusus yang bermaksud untuk di kuat kuasakan bagi angkatan tentera sahaja dan tidak kepada orang lain dan ianya di kuat kuasakan terhadap semua ahli di dalam angkatan tentera tanpa pengecualian.
Ketiga tiga kes diatas menunjukan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang sangat luas terhadap Angkatan tentera melalui kaua Majlis angkatan tentera. Iannya menunjukan bahawa tidak ada undang-undang persekutuan yang lain boleh mengatasi undang-undang tentera yang di tujukan kepada anggota tentera walaupun hak itu di beri secara mutlak di dalam perlembagaan Persekutuan. Ianya juga secara tidak langsung menegaskan bahawa perkhidmatan angkatan tentera adalah berbeza dengan perkhidmatan awam di perkara 132 perlembagaan apatah lagi kehidupan seorang tentera berbeza dengan rakyat biasa. Maka adalah mustahil angkatan tentera boleh di harmoniskan dengan perkhidmatan awam yang lain.


KRISIS PERLEMBAGAAN DAN PINDAAN PERLEMBAGAAN YANG MELIBATKAN KUASA YANG DI PERTUAN AGONG DAN RAJA-RAJA MELAYU.
Perubahan sesuatu sistem perundangan di dalam sesebuah negara mencerminkan evolusi sosio-politik masyarakatnya. Perlembagaan Amerika Syarikat telah dipinda sebanyak 27 kali sejak pemasyhuran undang-undang tersebut pada tahun 1789. Evolusi Perlembagaan Persekutuan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 juga memberikan gambaran perjalanan negara kita selama usia 60 tahun kemerdekaannya.Setakat 2017, Malaysia telah membuat sebanyak 57 pindaan terhadap perlembagaan Persekutuan. Beberapa orang sarjana menyatakan bilangan sebenar pindaan yang telah dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan sebenarnya mencecah bilangan hampir 700 kali, sekiranya setiap pindaan yang dibuat diambil kira. Meskipun begitu, intipati pindaan lebih penting daripada bilangan pindaan yang telah dibuat. Pindaan ke atas beberapa perkara kritikal telah menyebabkan Perlembagaan Merdeka kehilangan semangat asalnya. Pindaan-pindaan yang dilakukan telah “merobohkan benteng-benteng pertahanan yang dianggap oleh Suruhanjaya Reid sebagai mustahak bagi pertumbuhan sebuah negara demokrasi yang sihat”. Walaubagaimana pun, perbandingan sebegini agak kurang tepat, memandangkan Perlembagaan AS yang hanya mengandungi tujuh perkara, bertujuan menyediakan satu “kerangka kerajaan” yang mengagihkan bidang kuasa dan fungsi yang berlainan kepada tiga cabang utama kerajaan persekutuan, yakni perundangan (Kongres), kehakiman dan eksekutif (Pejabat Presiden). Perlembagaan Malaysia pula adalah 12 kali lebih panjang, mengandungi 15 bahagian, 230 perkara dan 113 jadual – kesemuanya menjelaskan dengan teliti pelbagai perkara dari kedai todi ke pemberian geran kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri. Bagi tujuan praktikal, kebanyakan fasal-fasal ini memerlukan penambah baikan dari semasa ke semasa.
Pindaan besar kali ke atas Perlembagaan Persekutuan dilakukan pada tahun 1960. Kerajaan telah membentangkan usul Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) Perkara 1960 dan meminda 33 perkara dan memasukkan dua perkara baru, di samping meminda Jadual Kedua. Malaya, sebagaimana negara dikenali pada waktu itu telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 di tengah-tengah kemaraan komunis yang bermula pada tahun 1948. Pada tahun 1960, perang telah mula reda apabila pihak komunis yang ingin menuntut kemerdekaan secara paksaan daripada British telah dihentikan dengan Merdeka. Kerajaan lebih berminat untuk mengakhirkan darurat tanpa kehilangan kuasa darurat daripada meraikan era keamanan dan kebebasan yang baru dinikmati setelah perang.
13 Mei 1969 adalah hari malang yang disebut Tunku sebagai “kekacauan sosial dan politik magnitud pertama”, yang menyebabkan kematian ratusan dalam rusuhan antara kaum di jalanan Kuala Lumpur. Pada 16 Mei,dharurat telah diistiharkan dan Parlimen telah digantung, satu siri peristiwa yang tidak mungkin akan berlaku kalau bukan kerana pindaan perlembagaan pada tahun 1960. Dengan tiadanya Parlimen, satu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan sebagai badan pentadbiran negara di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak Hussein. Majlis operasi negeri dan daerah juga ditubuhkan untuk pentadbiran masing-masing. Insiden 13 Mei menandakan berakhirnya era pertama dalam sejarah Malaysia, dan menjadi permulaan kepada era baru di bawah Razak yang memerintah sebagai ketua MAGERAN dan kemudiannya sebagai perdana menteri setelah persaraan Tunku pada 22 September 1970. Dengan bidang kuasa yang barunya, Razak telah memasukkan kompromi sosial yang baru itu ke dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 yang kontroversial. “Pindaan perkara-perkara sensitif” ini telah menggubal 7 artikel, termasuk artikel berkenaan kebebasan bersuara, berpersatuan, hak-hak istimewa Parlimen, bahasa kebangsaan, dan perluasan Artikel 153 berhubung perlindungan “kedudukan istimewa” orang Melayu.
Hasil daripada pindaan ini, hak-hak asasi tidak menjamin kebebasan untuk membincangkan “perkara-perkara sensitif” secara terbuka walau di Parlimen. Perkara-perkara tersebut merangkumi hak kewarganegaraan, bahasa, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang-orang Asli Borneo, serta kedaulatan raja-raja. Akta Hasutan yang sebelum ini tidak terpakai dalam kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kini berkuatkuasa di seluruh negara. Lanjutan itu juga, Artikel 159 telah dirombak supaya perkenan Majlis Raja-Raja, yang sebelum ini hanya diperlukan untuk pindaan fasal yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu dan pemerintah, kini turut diperlukan untuk pindaan bahasa kebangsaan, kelebihan parlimen dan beberapa hak kebebasan asasi. Sementara itu, Artikel 153 juga telah diubah untuk membenarkan pemberian kuota Melayu dan bumiputera di dalam institusi pengajian tinggi, sebagai tambahan kepada kuota perkhidmatan awam, pelajaran serta lesen dan permit perniagaan.
Pada tahun 1981, Mahathir Mohamad telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dan beliau memulakan beberapa konfrontasi dengan kesultanan Melayu pada tahun 1983. Sebelum ini, raja-raja menikmati kekebalan undang-undang, satu peruntukan undang-undang yang kerap kali disalah gunakan. Pada awal 1980-an, kelakuan raja-raja mula dipersoalkan dengan hangat di wacana umum, terutama sekali mengenai kemewahan, kesalahan kewangan, pembaziran dana awam, penglibatan dalam perniagaan dan campur tangan dalam isu politik. Sebagai seorang yang tidak menyokong feudalisme dan didorong oleh kemungkinan kenaikan seorang Agong yang cenderung campur tangan, Mahathir mengambil keputusan untuk mengawal keadaan terdahulu dengan memperkenalkan beberapa pindaan Perlembagaan pada tahun 1983.
Antara 43 Perkara yang dipinda adalah fasal-fasal berkenaan dengan perkenan diraja. Kesan pemindaan telah menjadikan perkenan diraja untuk usul yang diluluskan oleh Parlimen sesuatu yang wajib diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Peraturan ini turut terpakai ke atas undang-undang negeri. Sebagai tambahan, Mahathir juga mengusulkan untuk memindahkan kuasa pengisytiharan darurat daripada Agong kepada Perdana Menteri. Meskipun pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang tersebut menemu jalan buntu apabila raja-raja telah berbincang antara sesama membuat keputusan untuk menolak usul tersebut. Konflik berlanjutan dengan Mahathir terus menyerang berhabis-habisan. Beliau menggerakkan jentera parti dan mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara.Pihak media juga menyebelahi beliau dengan menerangkan keperluan pindaan tersebut. Sebagai tindak balas, pihak raja-raja turut mengadakan himpunan dengan sokongan pemimpin-pemimpin veteran Umno. Akhirnya, satu kompromi berjaya dicapai. Hak untuk mengisytiharkan darurat kekal sebagai kuasa Agong dan pemerintah mendapat kembali hak untuk tidak memberi perkenan diraja kepada undang-undang negeri. Bagi undang-undang persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen, Agong berkuasa untuk menolak usul dan menghantarnya kembali ke badan perundangan. Sekiranya usul tersebut diluluskan sekali lagi, secara automatik ia akan berkuatkuasa sebagai undang-undang selepas 30 hari, dengan atau tanpa perkenan diraja. Pengecualian hanya terpakai ke atas usul-usul kewangan yang tidak boleh ditolak sama sekali.
Pindaan besar perlembagaan seterusnya berlaku pada tahun 1988. Setahun sebelum itu, Mahathir menang tipis dalam pilihan parti, dan UMNO berpecah kepada dua puak. Puak yang kalah mengambil tindakan undang-undang dan pada Februari 1988, mahkamah memutuskan bahawa UMNO adalah sebuah persatuan yang haram ekoran beberapa masalah dengan cawangan-cawangannya. Dengan pengharaman UMNO serta beberapa keputusan mahkamah yang tidak disukai, Mahathir bertindak mengehadkan kuasa badan kehakiman. Artikel 121 merupakan target khusus dalam pemindaan perlembagaan pada tahun 1988. Artikel 121 pada asalnya memberikan kuasa kehakiman kepada mahkamah. Pemindaan artikel tersebut telah mengikat dan meletakkan badan kehakiman di bawah undang-undang persekutuan. Pindaan lain termasuklah pengguguran kuasa lazim Mahkamah Tinggi untuk membuat penyemakan kehakiman, kuasa Peguam Negara untuk menentukan mahkamah bicara bagi kes. Pengenalan Artikel 121(1A) amat penting kerana menggariskan pemisahan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil, dan juga menaikkan status mahkamah syariah menjadi setaraf dengan mahkamah sivil. Terjadinya sebuah sistem kehakiman yang menyebabkan timbulnya banyak kerumitan, terutamanya dalam kes yang melibatkan Muslim dan non-Muslim.
Sebagai tindak balas kepada perubahan yang diperkenalkan dengan tergesa-gesa oleh kerajaan, Ketua Hakim Negara pada masa itu, Salleh Abas, telah mempengerusikan satu mesyuarat para hakim. Sepucuk surat yang tidak ditandatangani diluluskan oleh mesyuarat untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyampaikan kekesalan ke atas tindakan Perdana Menteri yang menggugat kebebasan badan kehakiman. Namun, kerana pindaan yang dibuat pada tahun 1960, Mahathir dapat memulakan tindakan disiplin terhadap Ketua Hakim Negara, yang berakhir dengan pemecatan Salleh Abas dengan dua lagi hakim Mahkamah Agung. Peristiwa ini dikenali sebagai satu babak hitam dalam sejarah kehakiman Malaysia. Pada tahun 2008, kerajaan telah membayar pampasan kepada hakim-hakim yang dipecat. Pada tahun 2017 pulak, Mahkamah Persekutuan (sebelum ini Mahkamah Agung) memutuskan bahawa pindaan 1998 yang meletakkan badan kehakiman di bawah bidang kuasa Parlimen adalah melanggar perlembagaan, meskipun tidak membatalkan pindaan tersebut.
Pertembungan kedua Mahathir dengan Raja-Raja berlaku pada tahun 1993. Tidak terkesan dengan peristiwa sebelum ini, sebilangan Raja yang memerintah terus berkelakuan tidak baik dengan masuk campur dalam politik negara, tidak mematuhi undang-undang percukaian, malah terlibat dalam aktiviti jenayah. Berikutan satu usul oleh Parlimen yang menegur Sultan Johor yang telah menyerang seorang jurulatih hoki, Perlembagaan telah dipinda untuk memansuhkan kekebalan Raja yang memerintah daripada pendakwaan. Satu mahkamah istimewa telah ditubuhkan bagi membicarakan raja-raja.
Pada tahun 1994, Mahathir telah meminda lagi Perlembagaan, termasuk memansuhkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melengahkan rang undang-undang dengan mengembalikannya ke Parlimen. Cuma kali ini, pindaan yang sama telah dipanjangkan untuk undang-undang negeri, sekali gus menyingkirkan kuasa Raja Melayu sebagai mekanisme semak dan imbang. Pada masa yang sama, pengaruh badan kehakiman dilucutkan dengan perubahan simbolik seperti penamaan semula Lord President kepada Chief Justice, dan Supreme Court sebagai Federal Court, serta pengenalan kod etika untuk para hakim.
Perlembagaan telah dipinda lagi sebanyak 16 kali dan berakhir pada tahun 2009. Pindaan penting yang telah dibuat sepanjang 60 tahun ini telah mengubah nilai dan semangat asal Perlembagaan Reid tahun 1957 dengan menumpukan kuasa berpihak pada badan eksekutif, meruntuhkan pelbagai benteng perlembagaan berkenaan kebebasan asas dan pengunaan kuasa darurat, merombak sistem pilihan raya. Kesannya, Perlembagaan kini tidak lagi membawa semangat dan hasrat asal pengasas negara. Ini mungkin refleksi yang saksama ke atas politik Malaysia kini. Jika negara kita ingin menjadi sebuah negara inklusif dan progresif di abad ke- 21 ini, maka usaha politik untuk menggubal undang-undang yang lebih inklusif, terbuka dan adil harus dilaksanakan.

PERKARA 149 ADALAH UNTUK MENJADIKAN SESUATU UNDANG-UNDANG ITU SAH WALAUPUN SEPATUTNYA IANYA MENJADI TIDAK SAH DI BAWAH PERKARA 5, 9, 10 DAN 13.
Perkara 149 : Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb
Perkara 149 (1) (b) menyebut jika terdapat luahan rasa tidak puas hati terhadap Yang di-Pertuan Agong ataupun terhadap Kerajaan, maka Perkara 149 akan terpakai. Contohnya jika terdapat beberapa isu berlaku dimana rakyat menggunakan laman sesawang dan laman sosial untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Yang di-Pertuan Agong dan juga terhadap Kerajaan. Oleh kerana ianya melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong maka adalah elok perkara ini di perbincankan juga sepaya jelas melihatkan kekuasaan dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong di Negara ini.
Hak dan kebebasan asasi adalah sesuatu yang menyentuh kepentingan rakyat dalam sesebuah negara. Peruntukan mengenai hak dan kebebasan asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah bukan mutlak malah tertakluk kepada pelbagai sekatan dan pengecualian tertentu seperti dalam Perkara 149 dan Perkara 150. Perkara 149 memberikan pengecualian kepada hak yang diberikan di bawah Perkara 5, 9, 10 dan 13. Ini membenarkan Parliamen untuk menggubal undang-undang yang tidak konsisten dengan perkara 5,9,10 dan 13. Malah terdapat beberapa akta lain di Malaysia yang berkait rapat dengan Perkara 149 iaitu Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menyekat kebebasan bercakap.
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Akta Dadah Berbahaya 1985 adalah antara akta yang saling berkait rapat dengan Perkara 149. Malah kedua-dua akta ini dikatakan undang-undang zalim kembar yang berlepas dari norma-norma pengasingan kuasa. Sebagai contoh seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) membeikan kuasa kepada pihak polis untuk menahan sesiapa sahaja tanpa waran sekiranya pihak polis mempunyai ‘alasan untuk mempercayai’ bahawa seseorang itu boleh mengugat keselamatan negara. Dia boleh ditahan selama 60 hari. Pada tahun 1948, British mengumumkan ‘state of emergency’ untuk mengawal pergerakkan komunis selepas Perang Dunia II.
Suruhanjaya Reid telah mencadangkan supaya Perkara 149 dapat menghadapi sebarang perkara yang boleh mencetuskan kekecohan dan mengugat keselamatan negara di masa akan datang. Ia telah menegaskan dalam beberapa kes bahawa undang-undang permohonan yang dibuat di bawah Perkara 149 hendaklah dihadkan kepada pemberontakan komunis sahaja. Dalam kes Theresa Lim Chin Chin & Ors v Inspector General of Police (1988) 1 MLJ 293, Mahkamah Agung memutuskan bahawa ISA adalah satu undang-udang yang bukan hanya terhad untuk kegiatan komunis dan subversif sahaja. Kesan Perkara 149 adalah untuk menjadikan ia sah apa yang sepatutnya menjadi tidak sah di bawah Perkara 5, 9, 10 dan 13. Ini dapat dilihat dalam kes Public Prosecutor v Musa [1970]1 MLJ 101 .
Kesan umum Perkara 149 adalah untuk mengekalkan kesahihan undang-undang yang dibuat di bawah Perkara 149 walaupun ia tidak selaras peruntukan yang berkaitan. Kenyataan ini ditegaskan dalam kes Mohamad Ezam Bin Mohd Nor oleh Siti Norma Yaakob FJ. Beliau menegaskan bahawa Perkara 149 tidak termasuk peruntukan yang berkaitan untuk undang-undang yang dibuat dibawah perkara ini. Siti Norma Yaakob FJ dalam kes Mohamed Ezam Bin Mohamed Noor turut memutuskan bahawa, “a complaint by a person while under lawful detention that he has been refused access to counsel contrary to the second limb of art. 5(3) will not have the effect of rendering his detention unlawful…it would be otherwise if for example there has been a failure to inform the person arrested of the grounds of his arrest, contrary to the first limb of art. 5(3) and such failure would render his subsequent detention unlawful.” Ini bermaksud bahawa sekiranya dibuktikan bahawa sesuatu penahanan itu bercanggah dengan hak yang pertama iaitu hak untuk mengetahui alasan-alasan sesuatu penahanan itu dibuat, maka penahanan tersebut boleh dikira sebagai penahanan yang tidak sah, manakala jika dibuktikan bahawa semasa penahanan tersebut, orang yang ditahan tidak diberi hak untuk berunding dan dibela oleh peguambela tidaklah membawa kepada kesan bahawa sesuatu penahanan itu tidak sah.
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960(ISA) dimansuhkan pada tahun 2012 dan digantikan dengan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Kerajaan mencadangkan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) untuk menghapuskan ancaman pengganas dengan sebarang tindakan yang berkaitan dengan keganasan. Lebih khusus lagi, kerana ancaman yang membimbangkan rakyat Malaysia yang menyertai Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS). Di bawah akta ini, mana-mana orang yang dicurigai terlibat dalam aktiviti pengganas boleh ditahan tanpa waran sehingga masa maksimum 60 hari oleh pihak polis. Mana-mana orang yang ditangkap itu hendaklah dikemukakan kepada majistret dalam tempoh 24 jam kecuali dikeluarkan awal.
APAKAH PERBEZAAN DI ANTARA POTA, SOSMA DAN ISA?
POTA berkaitan lebih lagsung dengan keganasan dan memanjangkan kuasa yang sedia ada pada Akta Kesalahan Keselamatan ( Langkah-langkah Khas) (SOSMA) yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Manakala ISA membenarkan penahanan awal 60 hari dengan pembaharuan yang tidak terhad semata-mata berdasarkan kehendak Menteri Dalam Negeri, SOSMA pula menghadkan tempoh tahanan sehingga 28 hari selepas Peguam Negara boleh membuat keputusan untuk mendakwa dibawah kesalahan apa. POTA mempunyai tempoh yang sama iaitu 60 hari awal tahanan sebagai ISA tetapi dengan lanjutan mungkin sehingga dua tahun pada satu masa bergantung kepada kuasa eksekutif Lembaga Pencegahan Keganasan. Terdapat juga peranti pengawasan elektronik yang akan digunakan untuk mengawasi pergerakan suspek. POTA dikatakan sebagai kembar ISA. Namun, pernyataan ini dinafikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Juanidi Tuanku Jaafar Wan. Beliau turut berkata bahawa hanya mereka yang dipercayai benar-benar terlibat dalam keganasan boleh ditahan dan oleh itu, keselamatan Malaysia terjamin.

KUASA DARURAT YANG TERKANDUNG DI BAWAH PERKARA 150 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.
Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada YDPA untuk mengistiharkan darurat apabila wujud keadaan yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagian terancam. Ayat fasal ini berbunyi “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati…” Ramai pengamal undang-undang dan pensyarah undang-undang menyatakan, walaupun secara literal, YDPA yang mengisytiharkan darurat, tetapi dari segi realiti, kerajaan yang mengisytiharkan darurat. Ini adalah kerana Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan telah mengehadkan kuasa YDPA dengan mewajibkan YDPA bertindak atas nasihat jemaah menteri. Kita telah berbincang ayat yang di gunakan di Perkara 40(1) dan juga Perkara 40(1A) di atas. Ramai pengamal undang-undang dan pensyarah undang-undang menyatakan YDPA sebenarnya tidak mempunyai kuasa budi bicara untuk mengisytiharkan darurat. Keadaan ini telah timbul dalam kes Stephen Kalong Ningkan v Tun Abang Haji Openg & Tawi Sli (No. 2) [1967] 1 MLJ 46 dan Stephen Kalong Ningkan v Government of Malaysia [1968] 1 MLJ 119. Kes ini timbul berikutan 21 orang anggota Majlis Negeri Sarawak yang telah menandatangani sepucuk surat dan telah menghantar surat itu kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak menyatakan bahawa mereka tidak lagi menyokong dan tidak lagi menaruh kepercayaan kepada Datuk Stephen Kalong Ningkan. Datuk Stephen Kalong kemudiannya telah memulakan satu guaman di Mahkamah Tinggi Kuching dan mahkamah telah memutusakn bahawa pemecatan Datuk Stephen Kalong adalah tidak sah kerana Yang Dipertua tidak mempunyai kuasa untuk memecat Ketua Menteri melainkan satu undi tidak percaya telah diluluskan dalam Majlis Negeri. Walaupun undi percaya adalah sesuatu yang penting untuk menuntukan samada seorang ketua menteri masih mendapat sokongan dari anggota-anggota dalam Majlis Negeri, namun Datuk Stephen enggan memanggil mesyuarat Majlis Negeri Sarawak. Ini sudah tentu akan menyebabkan pertikaian politik ini berlarutan dan kerajaan Persekutuan telah menganggap bahawa ini akan memburukkan lagi keadaan keselamatan di Sarawak. Kerajaan Persekutuan kemudiannya telah mengisytiharkan keadaan darurat di negeri Sarawak bagi membolehkan parlimen membuat pindaan kepada Perlembagaan Negeri Sarawak unutk membolehkan Yang Dipertua Sarawak memanggil persidangan Majlis Negeri tanpa nasihat ketua menteri. Dengan itulah, Akta Darurat 1966 telah diluluskan. Apabila Akta Darurat 1966 telah berkuatkuasa, Majlis Negeri Sarawak telah bermesyuarat dan undi tidak percaya telah diluluskan terhadap Datuk Stephen dan beliau telah membawa kesnya ke mahkamah untuk mencabar bahawa pemecatannya adalah tidak sah. Datuk Stephen juga memulakan prosiding terhadap kerajaan persekutuan meminta mahkamah membuat keputusan bahawa perisytiharaan darurat bagi Sarawak adalah tidak sah dan juga Akta Darurat 1966 sebagai tidak sah. Mahkamah Persekutuan menolak hujah-hujah itu dan memutuskan bahawa perisytiharaan darurat di Sarawak dan Akta Darurat 1966 sebagai sah dan menyatakan YDPA hendaklah mengisytiharkan darurat atas nasihat Jemaah Menteri.
Sebelum kita melihat semua fasal 150(2) hingga 150 (8), perlu kita faham Perkara 4. (1) yang menyatakan: “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu”.
Perkara 150(2) memberi kuasa kepada YDPA untuk membuat perisytiharan darurat jika baginda berpuas hati bahawa ada kemungkiran yang hampir kejadian yang mengancam keselamtan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam itu akan berlaku.
Perkara 150 (2B) telah menyata dengan jelas YDPA tidak lagi mempunyai kuasa untuk membuat ordinan atau peraturan darurat selepas parlimen bersidang. Walaubagaimanapun, Mahkamah Persekutuan telah menolak hujahan pihak Khong Teng Khen dan memutuskan bahawa ESCAR1975 adalah sah walaupun dibuat oleh YDPA selepas parlimen mula bersidang. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Walaupun parlimen sudahpun bersidang, YDPA mempunyai kuasa membuat peraturan darurat di bawah ordinan darurat, tetapi bukannya di bawah Perkara 150(2) Perlembagaan Persekutuan. Keputusan kes PP v Khong Teng Khen yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan telah ditolak oleh Majlis Privi dalam kes Teh Cheng Poh v PP. Dalam kes ini, sekali lagi keesahan ESCAR1975 dibangkit dan dipersoalkan. Majlis Privy memutuskan bahawa setelah parlimen bersidang semula, YDPA tidak lagi mempunyai kuasa untuk membuat peraturan-peraturan darurat. Selepas parlimen bersidang semula, hanyalah parlimen yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang darurat.
Perkara 150(2C) telah memperuntukan ordinan-ordinan darurat yang dibuat dan diisytihar oleh YDPA di bawah perkara 150 (2B) hendaklah berkuatkuasa sama seperti akta darurat yang dibuat oleh Parlimen di bawah perkara 150(5). Ini bermakna kuasa membuat ordinan darurat yang dimiliki oleh YDPA mempunayi keluasan yang sama dengan kuasa parlimen untuk membuat akta darurat. Boleh dikatakan, semasa darurat, YDPA dan parlimen memegang kuasa yang sama besar untuk membuat undnag-undang darurat. Ini juga bermakna ordinan darurat yang dibuat oleh YDPA mempunyai taraf yang sama dengan akta darurat yang dibuat oleh parlimen.
Perkara 150(3) menyatakan bahawa ordinan yang dibuat oleh YDPA perlu dibentangkan di dalam dua dewan parlimen untuk mengesahkan atau membatalkan peristiharaan itu. Namun begitu, jika perisytiharaan itu dibatal oleh parlimen, YDPA masih mempunyai hak untuk mengisytiharkan oridnan tersebut dengan alasan lain. Kes Lim Woon Chong & Anor v PP [1978] 2 MLJ 204 telah membuktikan kepentingan pembentangan ordinan di dua dewan parlimen. Dalam kes ini, peraturan darurat dikata tidak sah kerana perisytiharaan darurat 1969 hanya dibentang di Dewan Rakyat tetapi tidak dibentang di Dewan Negara. Mahkamah Persekutuan menolak hujahan tersebut dan memutuskan bahawa mengikut jurubahasa Parlimen dan ucapan diraja yang dibuat pada 20 Februari 1971, perisytiharaan ini telah dibentang di Dewan Negara.
Perkara 150(6A) menegaskan, terdapat enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.Ketertinggian kedudukan undang-undang Islam dapat dilihat daripada peruntukan ini dengan memperuntukkan kuasa legislatif semasa darurat tidak boleh membabitkan perkara berkaitan undang-undang Islam. peruntukan ini jelas memelihara hal ehwal Islam walaupun dalam keadaan darurat yang memberi kuasa kepada pihak eksekutif untuk membuat undang-undang yang pada keadaan biasa, undang-undang hanya boleh dilakukan di Parlimen dan kerajaan pusat boleh mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri. Ini menunjukkan bahawa walaupun kuasa darurat yang sangat luas tetapi tidak termasuk perkara yang berhubung dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Ini menunjukkan hal yang berkaitan dengan agama Islam diberi status yang tinggi dalam perlembagaan.
Perkara 150 (7), sesuatu ordinan darurat itu diberikan nafas selama enam bulan lagi untuk berkuat kuasa selepas dari tarikh tamat darurat itu. Selepas daripada tempoh itu, ordinan dan peraturan itu, tidak akan berkuat kuasa lagi. Sungguhpun banyak syarat yang menjadi prinsip semasa darurat dilakukan, perisytiharan darurat oleh YDPA tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana mahkamah pun. Persoalan yang lahir dalam kes Johnson Tan Han Seng v Public Prosecutor [1977] 2 MLJ 66 berkenaan dengan tempoh berakhirnya kuasa ordinan. Tarikh tamat darurat penting untuk menentukan enam bulan selepas itu kuasa ordinan akan hilang seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (7) Ordinan Darurat diberi masa 6 bulan untuk berkuat kuasa selepas perisytiharan tarikh tamat darurat. Oleh itu segala kes tentang penamatan darurat ditolak Mahkamah.
Perkara 150 (8), dalam kes PP v Ooi Kee Saik [1971] 2 MLJ 108, Raja Azlan Shah di Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa perisytiharan sesuatu darurat tidak boleh disemak dan dicabar di mahkamah. Namun seterusnya dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn. Government of Malaysia, Mahkamh Persekuuan telah memutuskan bahawa suatu perisytiharan darurat tidak boleh disemak dan dicabar di mahkamah. Namun begitu, apabila kes ini telah dirayu ke Privy Council, Privy Council telah berpendapat bahawa soal samada perisytiharan sesuatu darurat boleh disemak dan dicabar di mahkamah adalah suatu persoalan yang masih belum diputuskan secara muktamad. Memandangkan keadaan ini, pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk meminda Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1981 melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1981. Melalui pindaan ini, Perkara 150(8)yang baru telah dimasukkan. Dalam Perkara 150 (8A) dan Perkara 150 (8B) menekankan bahawa, tiada mahkamah yang berkuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding mengenai kesahan perisytiharan yang dibuat YDPA berkaitan dengan tempoh kesinambungan darurat, undang-undang dan operasi darurat.


LAIN-LAIN PERLINDUNGAN TERHADAP INSTUSI YANG DI PERTUAN AGONG DAN RAJA-RAJA MELAYU DI MALAYSIA.
Di samping peruntukan Perlembagaan sepertimana yang telah disebut di atas, undang-undang jenayah negara juga menjaga kedudukan raja-raja Melayu. Undang-undang yang begitu relevan ialah Kanun Keseksaan. Tindakan menentang Raja, yang dikategorikan sebagai kesalahan terhadap negara, adalah kesalahan yang boleh dihukum penjara seumur hidup ataupun hukum bunuh. Misalnya kesalahan berperang melawan Raja-Raja. Hukuman bunuh juga boleh dikenakan ke atas mana-mana orang yang didapati bersalah melakukan kesalahan terhadap tubuh badan Raja atau bakal pengganti raja. Sementara itu penjara seumur hidup atau denda boleh dikenakan ke atas mana-mana orang yang dibuktikan sebagai merancang untuk memecat atau melucutkan raja daripada takhta mereka.
Juga perkara 181(2) Tiada apa-apa jua prosiding pun boleh dibawa di dalam mana-mana mahkamah terhadap raja sesuatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali di dalam Mahkamah Khas yang di tubuhkan di dalam Perkara 182 perlembagaan Persekutuan.
Perkara 183: Tiada tindakan sivil atau jenayah, boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan apa-apa jua yang di lakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya atas sifat peribadinya kecuali dengan keizinan Peguam Negara sendiri.

KESIMPULAN
Dalam konteks raja berperlembagaan di Malaysia perlu disabitkan kepada raja yang mementingkan keadilan dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara. Oleh yang demikian, raja berperlembagaan tidak seharusnya menjadi benteng atau halangan kepada raja-raja Melayu untuk menegaskan pendapat dan kewibawaan baginda dalam perkara-perkara yang pada hemat baginda adalah bagi kepentingan negara. Sebagai contoh, perkara yang begitu menjadi perhatian kita sekarang ialah penyatuan umat Melayu Islam. Dalam hal ini, kebijaksanaan, kewibawaan dan ketegasan baginda sangat diperlukan bagi mempastikan masalah perpecahan tidak akan memudaratkan negara.
Yang di-Pertuan Agong tidak perlu bertindak menurut nasihat jamaah mentri di semua perkara. Perkara 40 (1) dan $0(1A) perlu di baca dengan teliti kerana ayat di Perkara 40 (1) mengunakan ayat “…kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini…” dan ayat Perkara 40(1A) bermula dengan “, Jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat…”. Perkataan “Kecuali” dan “Jika” adalah jelas menunjukan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya bertindak menurut nasihat di semua perkara di dalam perlembagaan ini.
Perkara 4 Perlembagaan dengan jelas menyatakan jika terdapat mana-mana undang-undang yang di luluskan selepas hari merdeka yang tidak selaras dengan perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
Perkara 160B perlembagaan Persekutuan mengatakan jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris Perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu.
Perkara 41 Perlembagaan dengan jelas memberi melantik Yang di-Pertuan Agong sebagai Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan dan tidak ada mana-mana peruntukan didalam perlembagaan yang mengatakan jawatan ini adalah jawatan kehormat atau jawatan Istiadat semata-mata. Yang diPertuan Agong secara langsung mempunyai kuasa dalam pengunaan angkatan tentera bagi maksud operasi. Dalam Perkara 137(1) Yang di Pertuan Agong mempunyai kuasa am untuk mengarahkan Majlis Angkatan tentera untuk bertanggongjawab bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran Angkatan Tentera. Kuasa ini di huraikan di dalam Akta Angkatan Tentera 1972 dan peraturan2nya. Setiap peraturang yang di buat oleh MAT mempunyai kuasa undang-undang dan tidak boleh diatasi oleh mana-mana undang-undang persekutuan.